Bladsye

30 September 2013

mazhab imam syafi'i

mazhab Imam As-Syafi'e dibina di atas asas-asas yang kukuh antaranya adalah asas yang
kelima ini. Maka, asal bagi sesuatu perkara yang memberi manfaat, namun tidak ada nas mengenainya, maka
hukumnya adalah mubah (boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan: harus).
Keenam: Al-Istishab
Istishab ialah: Menetapkan sesuatu perkara di zaman kedua sepertimana ianya ditetapkan pada zaman yang
pertama. Iaitu, jika kita mengetahui suatu hukum terhadap sesuatu pada zaman pertama, lalu tidak terzahir sesuatu
petunjuk yang menunjukkan hukum tersebut dihilangkan pada zaman kedua, maka pada zaman kedua itu juga turut
kita hukumkan dengan hukum asal pada zaman pertama tersebut.
Contohnya: Asal hukum itu ialah, seseorang itu “terlepas (bara’ah) daripada sebarang tanggungan terhadap
manusia lain” sehingga ada dalil yang menunjukkan bahawasanya dia sudah memikul tanggungjawab terhadap
orang lain. Maka, asal "keterlepasan"nya daripada tanggungan terhadap manusia lain itu digunakan secara istishab
dalam kes seperti contohnya: seseorang itu (si A) dituduh mempunyai hutang dengan seseorang yang lain (si B),
namun tidak ada bukti menunjukkan bahawasanya dia (si A) pernah berhutang dengan orang (si B) tersebut.
Maka, dengan kaedah istishab ini, kita mengembalikan orang (si A) tersebut kepada hukum asalnya sebelum
tuduhan tersebut dilakukan iaitu "keterlepasan daripada tanggungan terhadap manusia lain", maka dia (si A) tidak
perlu membayar hutang tersebut kepada si B.
Ketujuh: Al-Istiqra'
Istiqra' ialah: Mengkaji atau meneliti (tatabbu’) perkara-perkara yang cabang (furu') dan hukum perkaraperkara
cabang yang saling berkaitan tersebut kepada suatu perkara yang turut berkait rapat dengan perkaraperkara
tersebut. Ia merupakan suatu proses meneliti pelbagai perkara cabang yang mempunyai persamaan dari
sudut-sudut tertentu, yang membawa kepada hukum yang sama, lalu menjadikan hukum tersebut sebagai hukum
yang menyeluruh terhadap cabang-cabang yang termasuk dalam masalah tersebut.
Contohnya: Hukum solat witir.
Kalau kita mengkaji (tatabbu’) keadaan Nabi s.a.w. khususnya dalam masalah solat, kita dapati suatu kaedah
umum daripada perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. secara menyeluruh tersebut bahawasanya, Nabi s.a.w. tidak
pernah menunaikan solat fardhu di atas kenderaan sewaktu bermusafir sama sekali.
Jika Rasulullah s.a.w. menunaikan sesuatu solat di atas kenderaan, maka daripada kaedah umum yang kita
fahami sebelum tadi, menunjukkan bahawasanya solat yang ditunaikan oleh Nabi s.a.w. di atas kenderaan tersebut
adalah solat sunat.
Oleh yang demikian, bilamana kita ingin mencari hukum tentang solat witir, lalu kita menemui bahawasanya
Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat witir di atas kenderaan, maka kita meletakkan hukum sunat bagi solat
witir hasil daripada kita mengaitkannya dengan hukum menyeluruh yang kita sebut sebelum tadi dalam kaedah
"Rasulullah s.a.w. hanya menunaikan solat sunat sahaja di atas kenderaan". Maka, kaedah umum yang membawa
hukum menyeluruh ini memberi petunjuk kepada hukum solat witir yang dicari, dengan menjadikan solat witir
sebagai satu cabang daripada kaedah tersebut, dalam masa yang sama berkongsi hukum yang sama dengan yang
lain iaitu: hukum solat witir adalah sunat. Jadi, dapat difahami juga, sebarang nas-nas yang mana zahirnya seolaholeh
mewajibkan solat witir sebenarnya adalah sekadar suatu bentuk "menguatkan lagi galakan terhadap
menunaikan solat witir itu sendiri.
Fasal: Kaedah Mengambil Bilangan paling Sedikit dalam Perkataan-perkataan Para Mujtahidin
Imam As-Syafi'e r.a. berpendapat bahawasanya kita perlu mengambil pendapat yang menyebutkan bilangan
yang paling sedikit dalam sesuatu masalah yang melibatkan bilangan, takkala berlaku perselisihan pendapat dalam
kalangan para ulama', kerana bilangan yang paling sedikit juga termasuk dalam bilangan yang paling banyak itu
sendiri (contohnya: 1 itu termasuk dalam bilangan 10 itu sendiri).
Kaedah ini digunakan oleh Imam As-Syafi'e r.a. bilamana tiada lagi dalil dijumpai dalam masalah tersebut melainkan
perkataan-perkataan ulama' tersebut.
Contohnya:
Hukum diyyah (bayaran pampasan yang melibatkan nyawa) kafir zimmi
Para ulama' berselisih pendapat tentang hukum diyyah kafir zimmi:
Pendapat Pertama: sepertiga daripada diyyah seorang muslim.
Pendapat Kedua: separuh daripada diyyah seorang muslim (mazhab Maliki)
Pendapat Ketiga: sama seperti diyyah seorang muslim (mazhab Hanafi)
Maka, Imam As-Syafi'e mengambil pendapat yang pertama iaitu sepertiga dariapda diyyah seorang muslim
kerana ianya merupakan pendapat yang paling sedikit dalam masalah ini. Ini kerana, bilangan yang terrendah ini
turut mengandungi perkataan yang mengatakan separuh diyyah muslim dan turut mengandungi perkataan seluruh
diyyah muslim.
Sepertiga diyyah muslim terkandung dalam pendapat kedua iaitu separuh diyyah muslim dan terkandug juga
dalam pendapat yang ketika iaitu semua bilangan diyyah muslim.
Wallahu a’lam…
(diambil dan diadaptasi daripada buku Al-Madkhal ila dirasah Al-Mazahib Al-Arba'ah karangan Mufti Mesir, Prof. Dr.
Ali Jum'ah)

Geen opmerkings nie:

Plaas 'n opmerking